Sunday 11 December 2011

Sejarah Perkembangan Teknologi ( Tahun 4 )

Teknologi ialah penggunaaan pengetahuan ilmu sains untuk memudahkan hidup serta meningkatkan kesejahteraan hidup manusia. Perkembangan teknologi terbahagi kepada beberapa bidang iaitu bidang pengangkutan, pertanian, komunikasi dan pembinaan. 
Bidang pengangkutan pula terdiri daripada pengangkutan darat, air dan juga udara.


Pengangkutan darat

Di jalan raya terdapat pelbagai jenis kenderaan yang memudahkan manusia untuk bergerak sehingga beratus-ratus kilometer dengan cepat. Teknologi ini ialah teknologi pengangkutan. Teknologi pengangkutan juga membolehkan manusia mengangkut benda berat dari satu tempat ke satu tempat yang lain dengan lebih mudah dan lebih cepat. 
 Pada zaman dahulu, manusia bergerak dengan berjalan kaki sahaja. Apabila haiwan seperti kuda dan unta dapat dijinakkan,maka haiwan ini dapat digunakan sebagai pengangkutan. Teknologi pengangkutan berkembang maju apabila manusia berjaya mencipta roda. Manusia berjaya mencipta kereta kuda dan kereta lembu yang boleh mengangkut manusia dan barang. Pada sekitar tahun 1700-an kenderaan berenjin stim yang menggunakan arang batu telah berjaya dicipta. Keupayaan mengangkut barang meningkat apabila kereta api stim berjaya dicipta. 
Kemajuan teknologi pengangkutan berkembang lagi dengan penciptaan enjin diesel yang lebih berkuasa. Kereta dan kereta api berenjin diesel kemudiannya digantikan dengan enjin menggunakan petrol seperti sekarang. Teknologi pengangkutan yang terkini ialah kereta api elektrik yang lebih berkuasa, senyap dan bersih.







Bidang Pertanian

 Satu lagi teknologi yang penting ialah teknologi pertanian. Melalui teknologi ini, manusia telah berjaya menghasilkan makanan yang mencukupi untuk menampung pertambahan penduduk. 
 Manusia pada zaman dahulu hanya menggunakan batu serta tulang haiwan untuk menggemburkan tanah bagi bercucuk tanam. Cara begini mengambil masa yang lama. Kemudian manusia menemui logam dan mencipta alat-alat yang baik seperti cangkul dan bajak. Selepas itu, haiwan seperti lembu dan kerbau digunakan untuk membantu membajak tanah pertanian. Teknologi pertanian menjadi semakin maju dengan terciptanya jentera pertanian seperti traktor yang boleh membajak tanah yang luas dengan cepat dan mudah. Mesin penuai pula ialah sejenis kenderaan berenjin yang dapat menuai hasil pertanian dengan lebih cepat serta mengurangkan keperluan tenaga buruh. 

 






Bidang Komunikasi
Teknologi komunikasi membolehkan manusia berhubung antara satu sama lain dengan mudah dan segera. Pada zaman dahulu, manusia menggunakan asap ataupun gendang untuk berkomunikasi. Cara ini hanya boleh digunakan  untuk jarak  yang  agak dekat sahaja. Kemudian manusia berjaya memperbaiki teknologi komunikasi dengan terciptanya alat telegraf. Teknologi ini masih terhad kerana maklumat yang dihantar hanyalah dalam bentuk isyarat kod tertentu. Tekonologi komunikasi mengalami suatu revolusi apabila alat telefon  dicipta oleh Alexander Graham Bell pada tahun 1876. Buat pertama kalinya manusia dapat bercakap antara satu sama lain pada jarak yang jauh. Sekarang manusia dapat menggunakan pelbagai teknologi canggih untuk berkomunikasi. Mesin faksimili membolehkan penghantaran maklumat dengan cepat manakala satelit membolehkan komunikasi antara benua yang berlainan. Telefon bimbit pula membolehkan kita berhubung walaupun kita bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Apabila radio dan televisyen berjaya dicipta, bidang komunikasi maju setapak lagi. Dua alat perhubungan ini dapat membekalkan maklumat secara serentak. Penciptaan komputer telah merapatkan lagi jurang perhubungan antara manusia di seluruh dunia melalui penggunaan laman sesawang, emel, 'facebook' dan 'twitter'.